Pharaoh, atau firaun dalam bahasa Arab dan Melayu, merujuk kepada pemerintah kerajaan Mesir Purba. Firaun bukanlah seorang individu, namun terdiri daripada banyak pemerintah, dan artikel kali ini akan menceritakan secara ringkas tentang 10 firaun mesir purba yang paling terkenal sehingga hari ini.
1. Firaun Menes (hidup sekitar 3201 - 3101 BC)
Menes, atau turut digelar dengan nama Narmer, adalah Firaun Mesir yang pertama. Baginda adalah individu yang bertanggungjawab menyatukan 2 buah kerajaan Mesir, iaitu Lower Egypt dan Upper Egypt. Baginda turut dianggap sebagai pengasas kerajaan Mesir Purba, dengan dinasti pertama sekitar 3150 BC. Menurut beberapa sumber, antara sumbangan paling besar baginda kepada Mesir adalah mengalihkan laluan Sungai Nil in Lower Egypt. Memphis, ibu negeri diraja Mesir Purba adalah antara sumbangan utama baginda yang lain.
2. Firaun Tutankhamun (hidup sekitar 1341 - 1323 BC)
Tutankhamun mungkin boleh dikatakan antara Firaun paling terkenal dalam kalangan Firaun Mesir. Firaun Tutankhamun ini adalah pemerintah paling muda dalam sejarah Mesir. Baginda menaiki takhta pada tahun 1332 BC, pada ketika berusia hanya 9 atau 10 tahun sebelum meninggal dunia pada usia 20 tahun. Makam Tutankhamun, atau King Tut telah ditemui pada tahun 1922. Makam yang dipenuhi dengan emas, dan masih utuh adalah antara penemuan arkaeologi paling hebat dalam abad ke-20.
3. Firaun Ramses II (hidup sekitar 1303 - 1213 BC)
Pemerintah Kerajaan Baru (New Kingdom) selama lebih daripada 60 tahun, Ramses II adalah antara Firaun yang paling berkuasa dalam sejarah Mesir Purba. Ketika pemerintah baginda sekitar tahun 1279 BC, hingga kematiannya pada 1213 BC, Ramses II berjaya membina banyak kuil terkemuka, termasuklah Ramesseum dan Abu Simbel. Baginda juga digelar sebagai seorang yang genius dalam bidang ketenteraan, dengan sokongan tentera seramai 100,000 orang. Legasi baginda adalah tersangat berpengaruh sehinggakan sebanyak sekurang-kurangnya 9 orang Firaun dinamakan sempena baginda.
4. Firaun Thutmose III (hidup 1481 - 1425 BC)
Thutmose III, yang memerintah dari 1479 BC hingga 1425 BC, turut diberi gelaran sebagai Napoleon Mesir Purba. Dalam tempoh 22 tahun pertama pemerintahannya, baginda mentadbir kerajaan Mesir bersama ibu tirinya, iaitu Hatshepsut. Selepas kemangkatan Hatshepsut, Thutmose III berjaya memimpin kerajaannya meluaskan empayar terbesar Mesir yang pernah dilihat. Penaklukan melalui ketenteraan, termasuklah dalam peperangan Megiddo dan Kadesh berjaya membawa pulang kekayaan yang banyak kepada kerajaan Thutmose III, dan menjadikan baginda sebagai wira negara.
5. Firaun Hatshepsut (hidup sekitar 1507 - 1458)
Hatshepsut memperolehi peranan sebagai Firaun ketika pemerintahan baginda bersama dengan Thutmose III, yang dilihat sebagai terlalu muda untuk memimpin kerajaan Mesir, selepas kematian bapa baginda iaitu Thutmose II. Pemerintahannya bersama Thutmose III selama 22 tahun dilihat sebagai suatu kejayaan besar buat kerajaan tersebut.
Baginda adalah individu yang bertanggungjawab mengarahkan pembinaan beratus-ratus bangunan dan koleksi patung-patung yang kekal sehingga kini. Mesir berada dalam keadaan aman makmur ketika di bawah pemerintahan baginda. Walaubagaimanapun, Thutmose III telah membuang segala imej berkaitan Hatshepsut daripada semua kuil dan monumen selepas kemangkatan baginda.
6. Firaun Cleopatra VII (hidup 69 - 30 BC)
Seperti Hatshepsut, Cleopatra VII juga menduduki takhta sebagai Firaun ketika pemerintahan Mesir bersama saudara lelakinya, iaitu bersama 2 orang adiknya dan kemudiannya anak baginda. Baginda adalah pemerintah terakhir Mesir sebelum kerajaan berkenaan dijadikan sebagai sebahagian daripada tanah jajahan Empayar Roman. Baginda dikatakan mempunyai kecantikan dan kebijaksanaan yang tiada tolak bandingnya. Hubungan romantik bersama maharaja Roman iaitu Julius Caesar dan Mark Anthony menguatkan lagi imaginasi ramai pihak tentang rupa paras baginda yang dikatakan sangat jelita.
7. Firaun Akhenaten (hidup sekitar 1380 - 1336 BC)
Firaun Akhenaten memerintah kerajaan Mesir Purba selama 17 tahun ketika Dinasti ke-18 Mesir, antara tahun 1353 hinggalah 1336 BC. Baginda adalah Firaun yang diingati kerana melarang penyembahan tradisional terhadap Tuhan-Tuhan Mesir, melainkan Aten, Tuhan Matahari menurut mitologi Mesir. Walaubagaimanapun, rakyat kerajaan Mesir Purba kembali menyembah Tuhan-Tuhan mereka selepas kemangkatan baginda. Isteri baginda iaitu Ratu Nefertiti, juga mempunyai kemasyuran yang setara seperti baginda, kerana diberi kuasa politik yang banyak, dan turut digelar sebagai pemerintah bersama Firaun Akhenaten.
8. Firaun Djoser (hidup sekitar 2650 - 2575 BC)
Djoser, disebut sebagai Zoser, adalah merupakan Firaun kedua dalam Dinasti ke-3 kerajaan Mesir Purba. Baginda memerintah selama sekurang-kurangnya 19 tahun antara tahun 2700 dan 2601 BC, dan merupakan Firaun pertama yang hidup secara eksklusif di ibu negeri diraja, Memphis, yang kini terletak di barat daya bandar Kaherah. Firaun Djoser adalah individu yang bertanggungjawab membina piramid bertingkat, di mana puncaknya berbentuk rata segi empat tepat. Djoser juga terkenal kerana patung batu kapur dirinya yang dikatakan sebagai patung Mesir bersaiz manusia yang paling tua diketahui.
9. Firaun Khufu (hidup sekitar 2620 - 2566 BC)
Nama Firaun Khufu adalah sangat sinonim dengan Piramid Giza yang agung, yang dibina ketika zaman pemerintahan baginda selama sekurang-kurangnya 24 tahun, dalam Dinasti ke-4 kerajaan Mesir Purba. Piramid Giza yang berketinggian 146.7 meter adalah salah satu Tujuh Keajaiban Dunia Purba yang tertua. Satu-satunya peninggalan patung Khufu yang masih kekal dan utuh sehingga hari ini adalah sebuah patung kecil berukuran 9 sentimeter tinggi. Patun tersebut yang ditemui pada tahun 1903 kini boleh dilihat di Muzium Mesir di Kaherah.
10. Firaun Amenhotep III (hidup sekitar 1411 - 1353 BC)
Antara pembina yang agung, pemerintahan Firaun Amenhotep III selama hampir 40 tahun ketika Dinasti ke-18 (antara tahun 1570 hingga 1293 BC) dilihat sebagai pentadbiran yang stabil dan makmur. Baginda menaiki takhta sebagai Firau ketika berusia 12 tahun selepas kemangkatan bapanya, iaitu Thutmose IV. Amenhotep III mengambil peluang kekuatan antarabangsa Mesir dan kemakmurannya untuk membina beberapa kuil indah, monumen dan patung-patung.
Baginda adalah individu yang bertanggungjawab mengarahkan pembinaan Kuil Amun di kawasan yang hari ini kita kenali sebagai Luxor. Selain itu, baginda turut membina lebih 250 patung dirinya, yang kini telah ditemui dan dipastikan identitinya.
No comments:
Post a Comment