TUHAN Allah membuat taman di Eden, di sebelah timur dan di situlah Dia menempatkan manusia yang dibentuk-Nya itu.
Lalu dari bumi itu TUHAN Allah menumbuhkan setiap jenis pokok. Ada yang menarik untuk dipandang dan yang baik untuk dimakan buahnya, termasuk juga pokok hayat di tengah-tengah taman itu serta pokok pengetahuan mengenai perkara yang baik dan yang jahat.
Sebuah sungai mengalir dari Eden mengairi taman dan dari situ bercabanglah sungai itu menjadi empat batang sungai.
Sebuah sungai mengalir dari Eden mengairi taman dan dari situ bercabanglah sungai itu menjadi empat batang sungai.
Sungai yang pertama yang bernama Pison itu mengalir mengelilingi seluruh Tanah Hawila di mana terdapat emas.
Emas di situ bermutu baik dan ada juga batu permata damar dan oniks.
Sungai yang kedua yang bernama Gihon, mengalir mengelilingi seluruh Tanah Kush.
Sungai ketiga yang bernama Tigris pula mengalir di sebelah timur Asyur. Sungai yang keempat ialah Efrat.
TUHAN Allah mengambil manusia itu dan menempatkannya di dalam Taman Eden untuk mengerjakan serta memelihara taman itu.
Lalu TUHAN Allah memberikan perintah kepada manusia itu, firman-Nya, “Engkau bebas memakan daripada kesemua pokok di dalam taman ini;
tetapi jangan engkau makan daripada pokok pengetahuan tentang perkara yang baik dan yang jahat kerana pada hari engkau memakannya, engkau pasti mati.”
Maka TUHAN Allah pun berfirman, “Tidak baik manusia itu bersendirian. Aku akan menjadikan seorang penolong yang sepadan baginya.”
Lalu daripada tanah TUHAN Allah membentuk segala binatang di padang dan segala burung di udara dan membawa semua mergastua itu kepada manusia untuk melihat bagaimana manusia itu menamai setiapnya. Apa pun nama yang diberikan manusia itu kepada setiap mergastua dan unggas, itulah yang menjadi namanya.
Maka manusia itu menamakan segala ternakan, burung-burung di udara, dan segala haiwan di padang, namun begitu, bagi dirinya sendiri manusia itu tiada seorang pun penolong yang sepadan baginya.
Maka TUHAN Allah membuat manusia itu tertidur dengan lena dan sewaktu itulah Dia mengambil sebatang tulang rusuknya lalu menutup ruang lama tulang itu dengan daging.
Daripada tulang rusuk yang diambil-Nya daripada manusia itu TUHAN Allah membentuk seorang perempuan lalu membawanya kepada manusia itu.
Berkatalah manusia itu, “Ini dia! Tulang daripada tulangku, dan daging daripada dagingku. Dia akan dipanggil Perempuan kerana dia diambil daripada Lelaki.”
Itulah maka seorang lelaki meninggalkan ibu bapanya dan bersatu dengan isterinya, lalu mereka berdua menjadi satu.
Kedua-dua manusia dan isterinya itu bertelanjang bulat tetapi mereka tidak berasa malu.
No comments:
Post a Comment