Kisah Pelacur Miskin yang Akhirnya Menjadi Maharani Rom - Theodora

theodora
Sejarah mengenai Theodora adalah satu kisah klasik yang kedengaran seperti kisah fantasi. Ini kerana kehidupan Theodora bermula dalam kelas masyarakat paling bawah dalam Empayar Byzantine tetapi dia menjadi salah satu wanita paling berkuasa dalam sejarah ketamadunan itu dan juga di dunia.
Theodora telah menjadi maharani kepada Empayar Byzantine pada abad ke-6 Masihi. Suaminya iaitu Justinian I, merupakan salah seorang Maharaja Empayar Byzantine yang paling terkenal.
Sebagai seorang maharani, Theodora telah menggunakan kedudukan dan pengaruhnya untuk memulakan reformasi di dalam kerajaan. Dia juga telah secara khususnya mempromosikan status wanita dalam kerajaan dan masyarakat.

Sejarah rahsia Theodora

constantinople
Lakaran Constantinople
Theodora dilahirkan sekitar tahun 497 Masihi. Tidak banyak yang diketahui tenteang kehidupan awalnya. Menurut satu catitan Sejarah Rahsia yang ditulis oleh Procopius, bapa kepada bakal Maharani Byzantium itu adalah Acacius.
Acacius bekerja sebagai penjaga beruang di Hipodrom yang merupakan medan pertunjukan dan pertarungan di Constantinople. Ia juga dikenali dengan nama Medan Atmeydani yang bermaksud Medan Kuda. Ibunya pula merupakan seorang penari dan pelakon.
Procopius juga menulis bahawa ketika pada usia mudanya, Theodora bekerja sebagai seorang pelakon wanita dan juga pelacur. Pekerjaan ini dianggap hina dan tidak dihormati di dalam masyarakat Empayar Byzantine.
lukisan cat theodora
Lakaran Theodora
Ketika berusia 16 tahun, Theodora telah pergi ke Afrika Utara sebagai peneman kepada salah seorang pegawai kerajaan dan tinggal di sana selama empat tahun. Dalam perjalanan pulang ke Constantinople, Theodora telah singgah di Alexandria di mana dia mula menganut agama Monophysitisme (cabang agama Kristian tidak ortodoks).
Selepas menganut agama baru, Theodora juga telah mengubah cara hidupnya. Dia telah bekerja sebagai seorang penenun bulu biri-biri apabila kembali ke ibu kota Constantinople itu.

Bercinta dengan pewaris Empayar Byzantine

theodora dan justinian i
Justinian I dan Theodora
Pada ketika inilah Theodora telah menarik perhatian Justinian yang berkhidmat di bawah bapa saudaranya iaitu Maharaja Justin I. Justinian telah tertarik kepada kecerdasan dan kecantikan Theodora lalu menjadikan wanita itu sebagai perempuan simpanannya dan menikahi dengan Theodora tidak lama selepas itu.
Disebabkan reputasi buruk latar belakang Theodora, satu undang-undang khas terpaksa digubal dan diluluskan untuk membatalkan undang-undang Rom lama. Sebelum ini undang-undang lama melarang lelaki di dalam persatuan senat atau berkedudukan lebih tinggi daripada mengahwini pelakon atau pelacur.   
Pada tahun 527 Masihi, Maharaja Justin telah meninggal dunia dan digantikan oleh anak saudaranya iaitu Justinian. Walaupun Theodora tidak menjadi pemerintah bersama Justinian, tetapi dia memberikan pengaruh yang besar terhadap pentadbiran kerajaan itu. Ramai yang beranggapan Theodora adalah pemerintah bersama dengan Justinian, cuma tanpa perlantikan rasmi.

Pemerintah semula jadi

rusuhan nika
Rusuhan Nika
Salah satu contoh terbaik kebolehan Theodora sebagai seorang pemerintah dapat dilihat melalui cara dia menangani Rusuhan Nika. Pada bulan Januari 532 Masihi, para penyokong kumpulan lumba kuda yang popular di Constantinople iaitu Greens and Blues telah bersatu dalam pemberontakan melawan Justinian.
Ketika pemberontakan berlaku, Maharaja Justinian I telah dinasihatkan oleh pagawai-pegawainya untuk melarikan diri dari ibu kota Constantinople agar tidak dibunuh. Theodora sebaliknya telah menasihatkan suaminya untuk tetap tinggal dan menyelamatkan empayarnya.
jeneral flavius belisarius
Jeneral Flavius Belisarius
Theodora telah memberikan ucapan yang naikkan semangat dan meyakinkan untuk maharaja dan para pegawainya kekal di situ. Maharaja Justinian I telah mengarahkan tenteranya untuk menamatkan pemberontakan dengan menggunakan kekerasan.
Melihat maharaja mereka mengetuai serangan, pasukan tentera yang diterajui oleh jeneral Belisarius begitu bersemangat dan akhirnya berjaya membunuh kesemua pemberontak yang berpangkalan di Hipodrome. 
Namun, Rusuhan Nika telah menyebabkan kemusnahan yang teruk kepada bandar itu. Ini memberi peluang kepada Justinian I dan Theodora untuk membinanya semula. Program pembinaan semula ini menjadikan Constantinople sebagai salah satu kota paling indah di dunia pada masa itu.
hagia sophia 740
Pencapaian yang paling ikonik dalam program pembinaan semula ini adalah Hagia Sophia. Semasa berlakunya Rusuhan Nika, gereja ini telah rosak teruk. Maharaja Justinian I telah membinanya semula (binaan kali ketiga dan bertahan sehingga hari ini). KIni Hagia Sophia merupakan sebuah masjid dan juga muzium.

Menyokong hak asasi manusia

Theodora juga mula melakukan beberapa pembaharuan yang mungkin digambarkan sebagai mendahului zaman mereka. Sebagai contoh, dia berjaya menamatkan penganiayaan yang dilakukan terhadap penganut Kristian bermazhab Monophysite pada tahun 553 Masihi.
Beberapa lagi pembaharuan Theodora menyasarkan kepada kesejahteraan kaum wanita. Sebagai contoh, Theodora meluluskan undang-undang yang membolehkan wanita memiliki dan mewarisi harta benda, membuatkan wanita mendapat lebih banyak hak dalam kes penceraian dan memulakan hukuman mati terhadap kesalahan merogol.
lakaran theodora bersama pembesar
Theodora telah meninggal dunia pada tahun 548 Masihi, dipercayai akibat kanser atau gangren. Kematian Maharani Theodora itu adalah tamparan hebat kepada Justinian I yang kekal memerintah untuk 20 tahun lagi.
Maharani Theodora telah dikebumikan di Gereja Holy Apostles di Constantinople. Theodora dan Justinian I kemudian dianggap sebagai Saint (kudus) oleh Gereja Ortodoks Timur dan mereka diraikan setiap 14 haribulan November.

8 Artifak Purba Paling Tua Pernah Ditemui

artifak purba
Arkeologi bermula sejak tamadun awal yang mana ingin tahu tentang masa lalu. Ahli sejarah Yunani Herodotus (abad ke-5 SM) adalah orang pertama yang secara sistematik mempelajari tentang masa lalu dan mungkin orang yang pertama meneliti artifak.
Sejak itu, ahli arkeologi telah menemui ribuan artifak dari pelbagai sejarah manusia yang berlainan. iluminasi.com kongsikan 8 artifak yang paling tua pernah ditemui di dunia mengikut kategori (instrumen, alat, ukiran).

8. Venus of Hohle Fels

venus of hohle fels
Usia: 35,000 – 40,000 tahun
Ditemui di: Jerman
Patung Venus dari Hohle Fels adalah patung tertua yang menggambarkan tubuh badan manusia. Ia adalah "patung Venus" yang tertua dan berusia kira-kira 35,000 - 40,000 tahun yang lalu.
Ia ditemui pada tahun 2008 di gua Hohle Fels oleh pasukan arkeologi yang diketuai oleh Nicholas J. Conard. Pasukan ini menemui beberapa artifak kuno lain, termasuk alat tertua di dunia seperti dalam senarai di bawah.
Sejak penemuan itu, terdapat banyak perdebatan mengenai angka usia patung ini, dengan Nicholas Conard mencadangkan bahawa ia adalah mengenai "seks, [dan] pembiakan."
Dia menambahkan bahawa ciri-ciri wanita yang dibesar-besarkan dari patung itu sebagai "gambaran yang sangat kuat dari intipati wanita. "

7. Patung Löwenmensch

l wenmensch figurine
Usia: 35,000 – 40,000 tahun
Ditemui di: Jerman
Patung Löwenmensch adalah karya seni kiasan yang tertua di dunia. Ia adalah arca gading seekor singa yang berbadan manusia, yang berusia antara 35,000 hingga 40,000 tahun.
Arca ini pertama kali ditemui pada tahun 1939 oleh ahli geologi Otto Völzing di gua Hohlenstein-Stadel, tetapi permulaan Perang Dunia II menyebabkan penyelidikan gua ditangguhkan.
Serpihan patung telah dilupakan selama lebih dari 30 tahun di Muzium Ulm, sehinggalah ahli arkeologi Joachim Hahn mula menggabungkannya semula.
Lebih banyak kepingan artifak itu ditemui pada tahun 1962 dan ia telah ditambah pada patung yang dihasilkan semula oleh Joachim.
Pada tahun 2009, penggalian lebih lanjut telah dijalankan dan lebih banyak serpihan telah ditemui. Hari ini, patung itu hampir dipulihkan sepenuhnya dan dipaparkan di Muzium Ulm.

6. Seruling tulang

seruling tulang
Usia: 42,000 – 43,000 tahun
Ditemui di: Jerman 
Menurut saintis, seruling tulang yang ditemui di Gua Geissenkloesterle di Jerman adalah alat muzik tertua yang pernah ditemui di dunia. Penyelidik menggunakan teknik "Pentarikhan radiokarbon" untuk menentukan bahawa seruling ini berusia di antara 42,000 hingga 43,000 tahun.
Seruling ini dibuat daripada tulang burung dan gading besar, berasal dari budaya arkeologi Aurignacian, yang dikaitkan dengan manusia moden terawal di Eropah.
Alat ini mungkin digunakan untuk rekreasi atau ritual keagamaan. Seruling ini lebih tua dari pemegang rekod sebelumnya, yang terdapat di gua Hohle Fels yang terkenal di Jerman, yang bertarikh 35,000 tahun yang lalu.

5. Manik Gua Skhul

manik gua skhul
Usia: 100,000 tahun
Ditemui di: Israel
Manik cangkerang dari Gua Skhul di Israel dianggap sebagai barang perhiasan tertua yang pernah dihasilkan oleh manusia. Dua manik dari Skhul ini telah wujud sekurang-kurangnya 100,000 tahun yang lalu dan manik ketiga dari Oued Djebbana di Algeria berusia lingkungan 35,000 hingga 90,000 tahun.
Menurut ahli arkeologi yang mempelajari mengenai cengkerang, siput yang menghasilkan cengkerang adalah dari laut, yang berjarak 3.5 kilometer jauhnya dari Skhul.
Ini bermakna bahawa manik-manik mempunyai kepentingan budaya kerana orang-orang yang menghasilkannya terpaksa mengembara jauh untuk mengumpulnya.
Penemuan manik-manik itu menunjukkan bahawa tingkah laku manusia moden (hiasan peribadi, seni, muzik, dan lain-lain) berkembang lebih awal dalam sejarah manusia daripada yang disangkakan.

4. Studio membuat cat Gua Blombos

studio membuat cat gua blombos
Usia: 100,000 tahun
Ditemui di: Afrika Selatan
Tapak arkeologi Gua Blombos berada di bawah projek penggalian sejak tahun 1992 dan sejak bertahun-tahun, mereka telah menemui pelbagai jenis artifak.
Salah satu penemuan terbaru mereka pada tahun 2008 adalah sebuah studio pembuatan cat yang terdiri daripada dua toolkit yang wujud sejak 100,000 tahun dahulu.
Para penyelidik menemui bekas campuran merah seperti cat yang tersimpan dalam dua cengkerang abalone.
Mereka juga mendapati oker (tanah liat berwarna), tulang, arang, batu tukul, dan batu panggang yang mereka percaya telah digunakan oleh Homo sapiens awal untuk mencipta cat.
Walaupun penyelidik tidak tahu apa tujuan penggunaa cat itu, namun mereka tahu bahawa orang pada zaman itu menggunakan batu kuartzite untuk mengisar ocher ke bawah dan menggabungkannya dengan minyak dari sumsum tulang yang dipanaskan.

3. Alat batu Acheulean

alat batu archeulean
Usia: 1.76 juta tahun
Ditemui di: Tersebar di serata Afrika, Asia dan Eropah, yang tertua ditemui di Afrika
Kapak tangan acheulean digunakan hampir dalam semua sejarah manusia yang paling awal. Alat ini dipercayai telah mula dihasilkan oleh Homo erectus sekitar 1.76 juta tahun yang lalu dan digunakan sehingga Zaman Batu Tengah (300,000 - 200,000 tahun yang lalu).
Kapak tangan ini dinamakan bersempena tapak arkeologi St. Acheul di Perancis di mana alat ini pertama telah ditemui pada akhir 1860-an.
Kapak tangan Acheulean tertua ditemui di tapak arkeologi Kokiselei 4 di Kenya dan bertarikh kira-kira 1.76 juta tahun lalu. Kapak tangan paling tua yang ditemui di luar Afrika adalah berusia sekitar 900,000 tahun dan dijumpai di 2 buah gua di Sepanyol.

2. Alat batu Oldowan

alat batu oldowan
Usia: 2.6 juta tahun
Ditemui di: Ethiopia
Sehingga kertas penyelidikan pada tahun 2015 diterbitkan, alat batu Oldowan yang terdapat di Gona, Ethiopia dipercayai alat batu tertua yang pernah dijumpai. Alat ini bertarikh sekitar 2.6 juta tahun yang lalu.
Penyelidik tidak pasti siapa yang membuat alat dari Gona kerana tiada fosil ditemui berhampiran artifak tersebut.
Alat ini mungkin dibuat oleh Australopithecus garhi, spesies hominid yang ditemui kira-kira 55 kilometer di selatan Gona, berhampiran tulang binatang yang menunjukkan tanda-tanda penyembelihan yang mencadangkan tujuan penggunaan alat ini.
Alat Oldowan ini pertama kali ditemui oleh ahli arkeologi terkenal, Louis Leakey, pada tahun 1930-an. Alat ini dianggarkan berusia kira-kira 1.8 juta tahun.

1. Alat batu Lomekwi

alat batu lomekwi
Usia: 3.3 juta tahun
Ditemui di: Kenya
Alat yang diperbuat daripada batu yang ditemui di Lomekwi 3, tapak arkeologi di Kenya, adalah artifak tertua di dunia. Alat batu ini berusia 3.3 juta tahun, sebelum manusia muncul.
Walaupun para penyelidik tidak pasti siapa nenek moyang kita yang awal membuat alat itu, penemuan ini menunjukkan bahawa nenek moyang kita mempunyai keupayaan mental untuk membuat alat sebelum setiap ahli keluarga manusia dilahirkan.

Senarai 10 Tamadun Purba Paling Tua di Dunia

senarai 10 tamadun purba paling tua di dunia
Kebanyakan orang menganggap bahawa tamadun Mesir Purba adalah tamadun tertua di dunia. Namun, kenyataan ini adalah salah sama sekali kerana dalam kalangan tamadun purba, tamadun Mesir boleh dikatakan antara tamadun yang agak baharu berbanding beberapa tamadun lain dalam senarai di bawah. 

10. Tamadun Rom Purba (753 BC - 476 AD)

tamadun rom purba
Rom Purba adalah sebuah tamadun Italic yang mendapat namanya daripada pengasasnya iaitu Romulus. Pada kemuncak kekuasaannya antara kurun pertama dan kedua, Rom adalah antara empayar terbesar di antara dunia purba, dengan sebanyak 50 hingga 90 juta rakyat di bawah pemerintahannya, bersamaan dengan 20 peratus populasi dunia pada ketika itu. Kejatuhan tamadun Rom bermula pada tahun 476 AD apabila suku kaum Germanic menggulingkan Maharaja Rom. 

9. Tamadun Olmec (1500 - 400 BC)

tamadun olmec
Antara salah sebuah tamadun Mesoamerika yang agung, tamadun Olmec bermula kira-kira 3000 tahun lalu di kawasan pesisiran pantai di Teluk Mexico. Diingati kerana seninya, tamadun ini meninggalkan pelbagai artifak, termasuklah jed, obsidian, magnetit, dan ukiran kepala yang diperbuat daripada batu. Kejatuhan tamadun ini pada sekitar 400 BC berlaku disebabkan perubahan cuaca yang mengakibatkan kemarau yang berpanjangan, yang seterusnya menghancurkan aktiviti berasaskan pertanian dan menyebabkan masyarakatnya mati kelaparan. 

8. Tamadun Tiwanaku (1500 BC - 1200 AD)

tamadun tiwanaku
Tamadun Tiwanaku terletak di kawasan tanah tinggi Andean, Bolivia. Antara peninggalan tamadun ini termasuklah Piramid Akapana, sebuah infrastruktur kuno yang tertua di Amerika Utara, dibina ketika zaman kemuncak tamadun Tiwanaku. Menjadi perintis kepada Empayar Inca, tamadun ini wujud selama lebih 2700 tahun, 3 kali ganda tempoh kewujudan Empayar Roman. 

7. Tamadun China Purba (1700 BC - 1912 AD)

tamadun china purba
Rekod bertulis pertama daripada salah satu tamadun paling tua di dunia adalah daripada Dinasti Shang, yang berjaya menyatukan sebahagian besar kerajaan di utara tengah China. Namun, hanya sekitar 221 BC China berjaya disatukan di bawah sebuah kuasa pusat, di bawah pemerintah pertamanya, iaitu Maharaja Qin Shi Huang. Baginda mengasaskan Dinasti Qin (221 - 207 BC), dan membina sebahagian Tembok Besar China bagi mengelakkan serangan daripada kaum Mongol di utara kerajaan berkenaan. 

6. Tamadun Minoan (3500 - 1100 BC)

tamadun minoan
Kira-kira 5000 tahun lalu, Pulau Crete yang terletak di timur Mediterranean, adalah merupakan lokasi tamadun Eropah yang pertama, iaitu Tamadun Minoan yang dinamakan sempena maharaja mereka, iaitu Minos. Sekitar 2000 BC, di puncak ketamadunan, empayar Minoan berjaya membina beberapa istana, jalan berturap serta sistem kumbahan tersendiri. Bagaimana sebuah tamadun dari zaman gangsa yang suatu ketika dahulu aman makmur ini boleh hilang? Ramai pakar percaya tsunami adalah puncanya, memberi inspirasi kepada kewujudan Lagenda Atlantis (kerajaan bawah laut).

5. Tamadun Mesir Purba (3150 - 332 BC)

tamadun mesir purba
Permulaan dinasti tamadun Mesir Purba dikatakan bermula apabila manusia mula mendiami kawasan di sekitar Sungai Nil bagi melakukan aktiviti bercucuk tanam. Penempatan ini terbahagi kepada Lower Kingdom dan Upper Kingdom, sehinggalah pada tahun sekitar 3150 BC, Firaun Menes (Narmer) berjaya menyatukan kedua kerajaan ini dan menubuhkan ibu negeri pemerintahan diraja di Memphis. Penyatuan ini bertahan selama beribu tahun, sehinggalah tahun 332 BC apabila Alexander the Great dari empayar Macedonia menakluki kerajaan tersebut. 

4. Tamadun Mesopotamia (5300 - 539 BC)

tamadun mesopotamia
Tamadun Mesopotamia bermula di sebuah kawasan yang hari ini kita kenali sebagai Iraq, sekitar 7000 tahun lalu, yang turut menyaksikan kebangkitan beberapa empayar agung, termasuklah Empayar Sumeria dan Empayar Akkadia. Empayar Sumeria adalah kerajaan yang bertanggungjawab membina tamadun Babylon, manakala Empayar Akkadia pula membina tamadun Assyria. 
Pengaruh tamadun Mesopotamia kepada dunia moden adalah sangat besar, dan dapat dirasai sehingga hari ini. Antaranya adalah teknik penulisan pertama yang diperkenalkan, iaitu kuneiform, dan penciptaan roda pada 3500 BC. Tamadun agung ini akhirnya jatuh pada tahun 539 BC selepas ditakluki oleh Empayar Achaemenid.

3. Tamadun Mehrgarh (7000 - 2600 BC)

tamadun mehrgarh
Tapak arkaeologi Mehrgarh terletak di Kacchi Plain barat tengah Pakistan, di kawasan kaki pergunungan Hindu Kush. Sejarah tapak ini bermula sekitar 9000 tahun lalu, dan dipercayai merupakan lokasi bermulanya Tamadun Lembah Indus (Harappan) pada awal era Neolitik, namun ditinggalkan sekitar 2600 BC apabila penduduknya mula berpindah ke beberapa kawasan lain yang lebih maju. 

2. Tamadun Çatalhöyük (7500 - 5600 BC)

tamadun atalh y k
Terletak di Konya, Turki, Çatalhöyük adalah sebuah tapak arkaeologi yang dahulunya merupakan bandar pertanian pertama di dunia. Selepas menemui bidang pertanian, manusia mula berkumpul di kawasan berkenaan, dan ketika zaman kemuncaknya sekitar tahun 7,000 BC, seramai 9,000 orang mendiami kawasan tersebut. Tidak diketahui apa yang terjadi terhadap masyarakat yang hidup pada zaman itu, atau sebab mengapa kawasan berkenaan ditinggalkan. Buat masa ini, tiada apa-apa bukti yang dapat menentukan apa yang sebenarnya terjadi kepada tamadun tersebut. 

1. Tamadun Göbekli Tepe (10,000 - 8000 BC)

tamadun g bekli tepe
Sekiranya anda melancong ke puncak tertinggi di kawasan pergunungan Turki di Gunung Germus, anda akan menemui tapak arkaeologi tamadun pertama di muka bumi, iaitu Göbekli Tepe. Dibina sekitar 12,000 tahun lalu, struktur ini mendahului Piramid Giza selama 7,000 tahun dan Stonehenge selama 6,000 tahun, meletakkannya dalam era pra-tembikar zaman Neolitik. Apakah tujuan struktur ini dibina? Siapa yang mendiaminya? Mengapa ianya ditinggalkan? Ini adalah antara persoalan yang kerap kali ditimbulkan apabila berbicara tentang Göbekli Tepe. 

Senarai 10 Firaun Paling Terkenal Dalam Sejarah Tamadun Mesir Purba

firaun
Pharaoh, atau firaun dalam bahasa Arab dan Melayu, merujuk kepada pemerintah kerajaan Mesir Purba. Firaun bukanlah seorang individu, namun terdiri daripada banyak pemerintah, dan artikel kali ini akan menceritakan secara ringkas tentang 10 firaun mesir purba yang paling terkenal sehingga hari ini. 

1. Firaun Menes (hidup sekitar 3201 - 3101 BC)

firaun menes
Menes, atau turut digelar dengan nama Narmer, adalah Firaun Mesir yang pertama. Baginda adalah individu yang bertanggungjawab menyatukan 2 buah kerajaan Mesir, iaitu Lower Egypt dan Upper Egypt. Baginda turut dianggap sebagai pengasas kerajaan Mesir Purba, dengan dinasti pertama sekitar 3150 BC. Menurut beberapa sumber, antara sumbangan paling besar baginda kepada Mesir adalah mengalihkan laluan Sungai Nil in Lower Egypt. Memphis, ibu negeri diraja Mesir Purba adalah antara sumbangan utama baginda yang lain. 

2. Firaun Tutankhamun (hidup sekitar 1341 - 1323 BC)

firaun tutankhamun
Tutankhamun mungkin boleh dikatakan antara Firaun paling terkenal dalam kalangan Firaun Mesir. Firaun Tutankhamun ini adalah pemerintah paling muda dalam sejarah Mesir. Baginda menaiki takhta pada tahun 1332 BC, pada ketika berusia hanya 9 atau 10 tahun sebelum meninggal dunia pada usia 20 tahun. Makam Tutankhamun, atau King Tut telah ditemui pada tahun 1922. Makam yang dipenuhi dengan emas, dan masih utuh adalah antara penemuan arkaeologi paling hebat dalam abad ke-20. 

3. Firaun Ramses II (hidup sekitar 1303 - 1213 BC)

firaun ramses ii
Pemerintah Kerajaan Baru (New Kingdom) selama lebih daripada 60 tahun, Ramses II adalah antara Firaun yang paling berkuasa dalam sejarah Mesir Purba. Ketika pemerintah baginda sekitar tahun 1279 BC, hingga kematiannya pada 1213 BC, Ramses II berjaya membina banyak kuil terkemuka, termasuklah Ramesseum dan Abu Simbel. Baginda juga digelar sebagai seorang yang genius dalam bidang ketenteraan, dengan sokongan tentera seramai 100,000 orang. Legasi baginda adalah tersangat berpengaruh sehinggakan sebanyak sekurang-kurangnya 9 orang Firaun dinamakan sempena baginda. 

4. Firaun Thutmose III (hidup 1481 - 1425 BC)

firaun thutmose iii
Thutmose III, yang memerintah dari 1479 BC hingga 1425 BC, turut diberi gelaran sebagai Napoleon Mesir Purba. Dalam tempoh 22 tahun pertama pemerintahannya, baginda mentadbir kerajaan Mesir bersama ibu tirinya, iaitu Hatshepsut. Selepas kemangkatan Hatshepsut, Thutmose III berjaya memimpin kerajaannya meluaskan empayar terbesar Mesir yang pernah dilihat. Penaklukan melalui ketenteraan, termasuklah dalam peperangan Megiddo dan Kadesh berjaya membawa pulang kekayaan yang banyak kepada kerajaan Thutmose III, dan menjadikan baginda sebagai wira negara. 

5. Firaun Hatshepsut (hidup sekitar 1507 - 1458)

firaun hatshepsut
Hatshepsut memperolehi peranan sebagai Firaun ketika pemerintahan baginda bersama dengan Thutmose III, yang dilihat sebagai terlalu muda untuk memimpin kerajaan Mesir, selepas kematian bapa baginda iaitu Thutmose II. Pemerintahannya bersama Thutmose III selama 22 tahun dilihat sebagai suatu kejayaan besar buat kerajaan tersebut.
Baginda adalah individu yang bertanggungjawab mengarahkan pembinaan beratus-ratus bangunan dan koleksi patung-patung yang kekal sehingga kini. Mesir berada dalam keadaan aman makmur ketika di bawah pemerintahan baginda. Walaubagaimanapun, Thutmose III telah membuang segala imej berkaitan Hatshepsut daripada semua kuil dan monumen selepas kemangkatan baginda.

6. Firaun Cleopatra VII (hidup 69 - 30 BC)

firaun cleopatra vii
Seperti Hatshepsut, Cleopatra VII juga menduduki takhta sebagai Firaun ketika pemerintahan Mesir bersama saudara lelakinya, iaitu bersama 2 orang adiknya dan kemudiannya anak baginda. Baginda adalah pemerintah terakhir Mesir sebelum kerajaan berkenaan dijadikan sebagai sebahagian daripada tanah jajahan Empayar Roman. Baginda dikatakan mempunyai kecantikan dan kebijaksanaan yang tiada tolak bandingnya. Hubungan romantik bersama maharaja Roman iaitu Julius Caesar dan Mark Anthony menguatkan lagi imaginasi ramai pihak tentang rupa paras baginda yang dikatakan sangat jelita.

7. Firaun Akhenaten (hidup sekitar 1380 - 1336 BC)

firaun akhenaten
Firaun Akhenaten memerintah kerajaan Mesir Purba selama 17 tahun ketika Dinasti ke-18 Mesir, antara tahun 1353 hinggalah 1336 BC. Baginda adalah Firaun yang diingati kerana melarang penyembahan tradisional terhadap Tuhan-Tuhan Mesir, melainkan Aten, Tuhan Matahari menurut mitologi Mesir. Walaubagaimanapun, rakyat kerajaan Mesir Purba kembali menyembah Tuhan-Tuhan mereka selepas kemangkatan baginda. Isteri baginda iaitu Ratu Nefertiti, juga mempunyai kemasyuran yang setara seperti baginda, kerana diberi kuasa politik yang banyak, dan turut digelar sebagai pemerintah bersama Firaun Akhenaten. 

8. Firaun Djoser (hidup sekitar 2650 - 2575 BC)

firaun djoser
Djoser, disebut sebagai Zoser, adalah merupakan Firaun kedua dalam Dinasti ke-3 kerajaan Mesir Purba. Baginda memerintah selama sekurang-kurangnya 19 tahun antara tahun 2700 dan 2601 BC, dan merupakan Firaun pertama yang hidup secara eksklusif di ibu negeri diraja, Memphis, yang kini terletak di barat daya bandar Kaherah. Firaun Djoser adalah individu yang bertanggungjawab membina piramid bertingkat, di mana puncaknya berbentuk rata segi empat tepat. Djoser juga terkenal kerana patung batu kapur dirinya yang dikatakan sebagai patung Mesir bersaiz manusia yang paling tua diketahui. 

9. Firaun Khufu (hidup sekitar 2620 - 2566 BC)

firaun khufu
Nama Firaun Khufu adalah sangat sinonim dengan Piramid Giza yang agung, yang dibina ketika zaman pemerintahan baginda selama sekurang-kurangnya 24 tahun, dalam Dinasti ke-4 kerajaan Mesir Purba. Piramid Giza yang berketinggian 146.7 meter adalah salah satu Tujuh Keajaiban Dunia Purba yang tertua. Satu-satunya peninggalan patung Khufu yang masih kekal dan utuh sehingga hari ini adalah sebuah patung kecil berukuran 9 sentimeter tinggi. Patun tersebut yang ditemui pada tahun 1903 kini boleh dilihat di Muzium Mesir di Kaherah. 

10. Firaun Amenhotep III (hidup sekitar 1411 - 1353 BC)

firaun amenhotep iii
Antara pembina yang agung, pemerintahan Firaun Amenhotep III selama hampir 40 tahun ketika Dinasti ke-18 (antara tahun 1570 hingga 1293 BC) dilihat sebagai pentadbiran yang stabil dan makmur. Baginda menaiki takhta sebagai Firau ketika berusia 12 tahun selepas kemangkatan bapanya, iaitu Thutmose IV. Amenhotep III mengambil peluang kekuatan antarabangsa Mesir dan kemakmurannya untuk membina beberapa kuil indah, monumen dan patung-patung.
Baginda adalah individu yang bertanggungjawab mengarahkan pembinaan Kuil Amun di kawasan yang hari ini kita kenali sebagai Luxor. Selain itu, baginda turut membina lebih 250 patung dirinya, yang kini telah ditemui dan dipastikan identitinya. 

10 Ciptaan Orang Mesir Purba yang Masih Digunakan Hari ini

peralatan yang dicipta mesir purba
Piramid Besar Giza mungkin antara sumbangan Tamadun Mesir yang paling dikenali sepanjang zaman. Dengan ketinggian asal setinggi 147 meter, Piramid Besar ini berdiri jauh lebih tinggi daripada monumen lain seperti Patung Liberty dan Big Ben. Dengan kecanggihan teknologi yang dimiliki ketika itu, sudah tentu mereka mampu membina dan mencipta pelbagai warisan lain.
Sepanjang ribuan tahun berkembang dengan pesat, orang Mesir mungkin merupakan warga tamadun purba paling maju yang pernah diketahui dalam sejarah dunia. Banyak perkara yang mereka lakukan dulu bertukar menjadi perkara biasa bagi manusia zaman kini.
Misalnya, wanita Mesir purba gemar memakai perhiasan barangan kemas dan rambut palsu sementara golongan lelaki bergusti, berlawan pedang dan bertinju sebagai sukan manakala kanak-kanak pula bermain permainan papan, anak patung dan mainan lain. Ini membuktikan mereka merupakan antara pencipta terawal pelbagai barangan dalam dunia dan pengaruhnya masih dapat disaksikan sehingga ke hari ini.

10. Alit mata

ciptaan mesir purba alat solek mekap celak
Alat solek mata mungkin tidak sama hebat bagai ciptaan lain seperti api dan roda yang menjadi antara penemuan paling penting dalam sejarah manusia. Namun, ia adalah pelopor kepada penciptaan alat kosmetik yang menghiasi wajah wanita-wanita di seluruh dunia pada zaman kini. Sejak mula dicipta sekitar Tahun 4000 S.M., penggunaannya tidak pernah menjadi sesuatu yang ketinggalan zaman.
Bahkan, beberapa pencinta alat solek menggunakan teknik serupa dengan orang Mesir dari ribuan tahun dahulu untuk membuat celak. Mereka mencampurkan jelaga dengan mineral dipanggil galena untuk menghasilkan sejenis salap hitam yang digelar "kohl" yang masih popular pada hari ini. Selain itu, mereka juga mencampurkan mineral lain dipanggil malakit dengan galena untuk mendapatkan celak berwarna.
Bagi orang Mesir, solekan bukan saja terhad kepada kaum wanita. Golongan kelas atasan sentiasa dilihat mengenakan celak yang lebih tebal kerana ia menandakan status mereka yang tinggi. Selain itu, dipercayai solekan mata yang tebal itu dapat menyembuhkan pelbagai penyakit mata dan melindungi diri daripada terkena sihir. (Sumber)

9. Bahasa tulisan

hieroglif bahasa tulisan pertama ciptaan mesir purba
Penggunaan lukisan untuk menyampaikan cerita bukanlah sesuatu yang baru. Lukisan-lukisan gua yang dijumpai di Perancis dan Sepanyol bertarikh sebelum Tahun 30000 S.M. lagi. Walau bagaimanapun, lukisan dan gambar tidak berkembang menjadi bahasa bertulis pertama selama beribu-ribu tahun berikutnya. Sistem tulisan hanya muncul pada zaman Tamadun Mesir dan Mesopotamia.
Orang Mesir memulakan sistem tulisan menggunakan piktogram sekitar Tahun 6000 S.M. Piktogram merupakan gambaran ringkas tentang perkataan yang ingin disampaikan, namun penggunaannya masih terhad. Lama-kelamaan, orang Mesir menambahkan elemen-elemen baru dalam sistem tulisan mereka termasuklah memasukkan karakter berbentuk seperti huruf yang mempunyai bunyinya tersendiri. Ini membolehkan mereka menulis nama sendiri dan menulis tentang idea-idea yang abstrak.
Hari ini, semua orang mengetahui bahawa orang Mesir telah mencipta "hieroglif" yang mengandungi gabungan huruf, simbol silabik dan juga ideogram iaitu gambar yang membawa makna penuh sesuatu perkataan. Penemuannya banyak dijumpai di makam-makam Mesir serta banyak tempat lain. Ia banyak menceritakan kisah peperangan, politik dan budaya yang memberikan kita lebih kefahaman tentang masyarakat Mesir pada zaman itu.
Sudah pastilah penghargaan harus diberikan kepada penemuan batu Rosetta yang membolehkan kita menterjemah tulisan ini. Penemuan batu tersebut berserta kajian sorang penyelidik Perancis bernama Jean-Francois Champollion yang berjaya menyahkod batu itu telah menamatkan misteri tulisan orang Mesir purba selama 1,500 tahun. (Sumber 123)

8. Lembaran papyrus

lembaran papyrus ciptaan mesir purba
Tiada siapa yang dapat menyangkal fakta bahawa orang China telah berjaya mengubah dunia dengan penciptaan kertas sekitar tahun 140 S.M. Walau bagaimanapun, mungkin tidak ramai orang mengetahui bahawa orang Mesir purba telah mencipta sesuatu yang boleh juga digunakan sebagai kertas beribu tahun lebih awal dari orang China.
Ciptaan yang menggunakan pohon papyrus ini sangat tahan lasak dan bahagian dalamannya yang berserat membuatkan ia sesuai dijadikan lembaran untuk menulis selain digunakan untuk membuat layar, sepatu, tikar dan pelbagai lagi barangan lain. Selepas lembaran dihasilkan, ia sering dijadikan skrol yang diisi dengan teks-teks keagamaan, kesusasteraan dan juga muzik.
Orang Mesir purba menyimpan rahsia pembuatan lembaran papyrus ini dan ia sentiasa dikawal dengan begitu rapi. Ini membolehkan mereka memperdagangkan produk tersebut di seluruh wilayah berhampiran. Disebabkan proses itu tidak pernah didokumenkan, tiada siapa yang mengetahui rahsia orang Mesir purba ini sehinggalah tahun 1965 apabila Dr. Hassan Ragab akhirnya mengetahui kaedah untuk menghasilkannya. (Sumber 12)

7. Kalendar

kalendar ciptaan orang mesir purba 570
Mungkin ramai orang agak sukar mengingati tarikh-tarikh janji temu atau mesyuarat tanpa melihat kalendar. Namun, ketika zaman Mesir purba, kalendar digunakan untuk mengetahui perbezaan antara musim menjamu selera atau musim kebuluran. Tanpa kalendar, masyarakat Mesir tidak boleh mengetahui bilakah banjir tahunan Sungai Nil akan bermula dan tanpa pengetahuan tersebut, keseluruhan sistem pertanian mereka boleh terjejas. Jadi, dari sinilah bermulanya sejarah penciptaan kalendar.
Kalendar Mesir purba berkait rapat dengan bidang pertanian jadi ia dibahagikan kepada tiga musim utama iaitu pembanjiran, bercucuk tanam dan menuai. Setiap musim mempunyai empat bulan dan setiap bulan dibahagikan kepada 30 hari. Jadi, terdapat sebanyak 360 hari dalam tahun orang Mesir purba - kurang lima hari daripada tahun sebenar. Walau bagaimanapun, mereka mempunyai hari "epagomenal" sebanyak lima hari antara musim menuai dan musim banjir. Ia dikhaskan untuk menyambut cuti keagamaan bagi menghormati anak-anak dewa. (Sumber 12)

6. Bajak

bajak ciptaan mesir purba
Walaupun para sejarawan tidak dapat benar-benar memastikan dari mana bajak ini berasal, namun banyak penemuan bukti mengatakan orang Mesir dan Sumeria merupakan masyarakat pertama yang menggunakannya sekitar Tahun 4000 S.M. Bajak ketika itu jelas dibina dengan alatan tangan yang diubah suai. Ia begitu ringan dan tidak efektif sehinggakan kini ia hanya dikenali sebagai 'bajak kais-kais' kerana tidak mampu mengorek tanah dengan dalam.
Tambahan lagi, bajak tersebut memerlukan kerahan tenaga yang ramai untuk digunakan. Lukisan-lukisan dinding yang ditemui menunjukkan lakaran seramai empat orang lelaki bersama-sama menarik bajak di padang.
Namun, semuanya berubah pada Tahun 2000 S.M. apabila orang Mesir mula menggunakan lembu jantan untuk menarik bajak. Versi asal adalah dengan memasangkan bajak terus ke tanduk lembu tetapi ia telah mengganggu kebolehan haiwan tersebut bernafas. Rekaan itu diperbaiki dengan menggunakan sistem tali yang lebih efektif. Bajak itu telah menjadi satu revolusi dalam bidang pertanian di Mesir dan banyak memudahkan tugas masyarakat ketika itu. (Sumber 12)

5. Penyegar mulut

mesir purba mencipta penyegar mulut 97
Sama seperti zaman moden, mulut berbau pada zaman Mesir purba sering dikaitkan dengan penjagaan kesihatan pergigian yang lemah. Walau bagaimanapun, orang Mesir tidak mempunyai sebarang minuman bergas atau makanan tinggi kandungan gula yang boleh menyebabkan gigi rosak tetapi batu yang mereka gunakan untuk menghancurkan tepung bagi membuat roti telah menyebabkan banyak pasir dan batu halus masuk dalam makanan. Makanan berpasir inilah yang telah menghakis enamel gigi sehingga menyebabkan pulpa gigi terdedah dan mengakibatkan jangkitan.
Masyarakat Mesir mempunyai ramai pakar dalam pelbagai masalah perubatan. Malangnya, mereka tidak mempunyai pakar pergigian atau pakar bedah mulut untuk memulihkan gigi dan gusi yang rosak. Disebabkan itu, mereka hanya mampu menahan derita. Saintis yang membuat pemeriksaan ke atas mumia-mumia yang dijumpai telah menemui beberapa gigi yang terlalu rosak dan bernanah. Malah, ia juga banyak berlaku kepada golongan remaja.
Untuk menyembunyikan bau busuk akibat gigi yang rosak, masyarakat Mesir telah mencipta penyegar mulut pertama dengan gabungan kemenyan, mirh dan kulit kayu manis yang direbus bersama madu kemudian dibentuk menjadi butiran kecil. (Sumber)

4. Boling

lorong boling ciptaan orang mesir purba
Di sebuah perkampungan yang terletak di Narmoutheos iaitu kira-kira 90km dari selatan Kaherah, ahli arkeologi telah menjumpai sebuah bilik mengandungi beberapa lorong kecil dan koleksi bola dalam pelbagai saiz. Setiap lorong berukuran 3.9 meter panjang, 20 sentimeter lebar dan berkedalaman 9.6 sentimeter. Di tengah-tengah lorong terdapat satu lubang berbentuk segi empat sama berukuran 11.9 sentimeter.
Berbeza dengan sukan boling zaman moden di mana pemain cuba menjatuhkan pin yang terdapat di hujung lorong, pemain boling Mesir purba hanya perlu menyasarkan bola ke arah lubang empat segi tersebut. Sementara itu pihak lawan pula berdiri dari arah bertentangan dan cuba memesongkan bola pemain. (Sumber)

3. Bercukur dan memotong rambut

Mungkin orang Mesir purba menganggap rambut sebagai sesuatu yang kotor. Selain itu, cuaca yang panas juga membuatkan sesiapa yang berambut panjang serta berjanggut lebat mengalami ketidakselesaan. Oleh itu, mereka lebih banyak memotong atau mencukur kepala serta muka dengan kerap.
Bagi golongan kaya Mesir purba, kulit yang bebas serta bersih daripada sebarang bulu dan rambut dianggap sangat bergaya. Para paderi mungkin golongan yang paling tidak menggemari tubuh dan kepala berbulu, maka mereka mencukur seluruh tubuh setiap tiga hari.
alat pencukur rambut dan janggut ciptaan mesir purba
Dari sini kita dapat mengetahui bahawa orang Mesir purba mungkin masyarakat pertama yang mencipta alat bercukur iaitu dengan menggunakan pisau cukur batu tajam yang dipasang pada pemegang kayu. Selepas itu, ia berkembang menjadi mata pisau yang diperbuat daripada tembaga. Selain itu, mereka juga yang mula memperkenalkan kerjaya sebagai seorang tukang gunting. Tukang gunting akan berkunjung dari rumah ke rumah para aristokrat. Pelanggan dari golongan biasa pula akan diberikan perkhidmatan di luar sahaja di mana mereka akan duduk di kerusi yang berada di bawah pohon sycamore yang rendang.
Apa yang menganehkan adalah mereka akan menggunakan rambut yang dicukur dan bulu biri-biri untuk dijadikan rambut atau janggut palsu sebagai satu daya tarikan. Lebih aneh lagi apabila permaisuri dan raja juga turut melakukan perkara yang sama. Janggut palsu mempunyai pelbagai saiz untuk menandakan status dan kedudukan sosial si pemakai. Rakyat biasa hanya dibenarkan memakai janggut palsu kecil sekitar 5cm panjang sementara raja pula akan memakai janggut ini sepanjang-panjangnya. Raja juga akan mengarahkan janggut itu dikemaskan di bahagian hujung dalam bentuk bersegi. Dewa-dewa Mesir purba juga tidak kurang hebatnya dengan janggut yang melengkung ke atas di bahagian hujung. (Sumber 123)

2. Kunci pintu

kunci pintu ciptaan orang mesir purba
Sejarah alat mengunci pintu terawal bermula sekitar Tahun 4000 S.M. Rekaan awal deadlock (kunci lokos) hanyalah menggunakan pin dan bolt berongga yang disambungkan ke pin tersebut. Apabila kunci dimasukkan dan menolak pin ke atas, ia akan menjauhkan diri dari batang bolt dan membenarkan pintu ditarik.
Walau bagaimanapun, satu kelemahan sistem kunci purba ini adalah saiznya yang besar sehingga boleh mencecah 0.6 meter. Namun begitu, kunci yang dicipta masyarakat Mesir dilaporkan lebih selamat daripada teknologi yang dibangunkan oleh Rom. Mereka menggunakan rekaan yang lebih mudah menggunakan spring untuk memegang pintu. Selain itu, kunci yang dihasilkan Rom tersembunyi di sebalik pintu tetapi lebih mudah diumpil berbanding kunci yang dicipta masyarakat Mesir. (Sumber 12)

1. Ubat gigi

ubat gigi pertama ciptaan mesir purba
Seperti yang telah dijelaskan sebelum ini, warga Mesir purba mempunyai banyak masalah dengan penjagaan gigi disebabkan roti yang mengandungi pasir dan batu. Walaupun mereka tidak mempunyai pakar pergigian, mereka masih berusaha untuk menjaga kebersihan gigi. Ahli arkeologi menjumpai pengorek gigi yang tertanam bersama mumia. Ia dipercayai sengaja diletakkan di situ supaya mumia ini boleh membersihkan sisa-sisa makanan di celah gigi apabila dibangkitkan semula.
Selain masyarakat Babylon dan China, orang Mesir purba juga dipercayai menjadi antara yang terawal menggunakan berus gigi yang diperbuat daripada bahagian hujung ranting yang berambu-rambu. Selain itu, masyarakat Mesir ini juga telah berinovasi dengan mencipta ubat gigi pertama di dunia.
Antara bahan utama terawal yang digunakan adalah telapuk lembu jantan, abu, kulit telur yang dibakar dan pumis. Kemudian, ahli arkeologi menemui resipi ubat gigi yang lebih maju berserta panduan untuk menggosok gigi yang ditulis atas lembaran papyrus. Penulis yang tidak diketahui itu menjelaskan bagaimana campuran garam kasar, daun pudina, bunga iris kering dan biji lada hitam akan menghasilkan "serbuk untuk gigi yang putih sempurna."